Suffian beri peringatan kepada skuad Tok Gajah. FOTO NSTP


PENGURUS Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang tidak mahu skuad itu mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan ketika tewas 3-4 kepada Perak pada aksi separuh akhir Piala FA.

Biarpun menang 3-1 ke atas The Bos Gaurus di laman sendiri, kebangkitan luar biasa Perak menyebabkan misi Pahang mempertahankan Piala FA berkubur.

Justeru, beliau mengharapkan anak buah Dollah Salleh belajar daripada kesilapan lalu untuk mengekalkan prestasi daripada dikecewakan lawan.

"Kemenangan bergaya 3-0 ke atas Melaka United pada suku akhir pertama memberi kelebihan besar buat skuad Tok Gajah untuk melangkah ke separuh akhir.

"Ini kerana perlawanan kedua berlangsung di Stadium Darul Makmur tetapi pemain tidak boleh terlalu selesa kerana apa-apa boleh berlaku jika tersilap langkah.

"Situasi yang berlaku di Ipoh, Perak pada aksi separuh akhir kedua Piala FA lalu perlu dijadikan pengajaran ketika menang selesa 3-1 tetapi tewas dengan agregat 3-4 kepada Perak," katanya.

Mohammaed Suffian mengharapkan sokongan padu peminat skuad Tok Gajah untuk memastikan misi ke final Piala Malaysia menjadi kenyataan.

Katanya, kali terakhir Pahang melangkah ke final piala berprestij itu pada 2014 dan kejuaraan menjadi milik pasukan.

"Diharapkan musim ini Pahang yang terlepas dua piala iaitu Piala Liga Super dan Piala FA dapat menamatkan Liga Malaysia dengan bergelar juara Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:35 PM