EWART meraih jersi kuning selepas berakhir peringkat kedua hari ini. - FOTO TSC
Azlan Muhammad Zain


JERSI kuning kekal milik pasukan dari Malaysia dengan kini giliran Team Sapura Cycling (TSC) menyarungnya selepas berakhir peringkat kedua International Tour de Banyuwangi Ijen di Indonesia.

Walaupun menamatkan saingan di kedudukan keempat pada peringkat kedua sejauh 148.2 kilometer, ia sudah mencukupi bagi pelumba TSC dari Australia, Jesse Ewart merampas jersi kuning dari pendahulu peringkat pertama, Maral-Erdene Batmunkh yang beraksi bersama Terengganu Inc TSG Cycling Team.

Secara keseluruhan Ewart mengumpul enam jam 37 minit 48 saat dan hanya dipisahkan dengan perbezaan satu saat dengan pelumba Team UKYO, Robbie Hucker di kedudukan kedua.

Maral menamatkan saingan di kedudukan ke-16 namun masih mengekalkan jersi kategori pecut apabila mengumpul 26 mata, meninggalkan Ewart dengan perbezaan lima mata di kedudukan kedua.

TSC turut melonjak di kedudukan pertama kategori pasukan keseluruhan apabila mengumpul 19 jam 58 minit 51 saat, meninggalkan dua pencabar dari Jepun, Kinan Cycling Team dan Team UKYO.

"Perancangan yang direncanakan berjaya dicapai hari ini selain muncul pasukan terbaik dari 19 pasukan bertanding. Kami mahu mengekalkannya sehingga peringkat terakhir selain mengintai peluang merebut jersi pecut dan bukit," jelas Principal TSC, Mohd Sayuti Zahit.

Perlumbaan peringkat kedua hari ini dimenangi pelumba PGN Road Cycling Team, Aiman Cahyadi dengan peringkat ketiga diteruskan dengan laluan landai yang bermula dan berakhir di Banyuwangi sejauh 109.2km.

Kedua-dua pasukan benua negara sedang bersaing sengit meraih dalam usaha menamatkan Jelajah Asia di kedudukan pertama dengan musim ini akan berakhir hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 7:03 PM