AKSI Wee Wern menentang Aifa di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. - FOTO Saifullizan Tamadi
Iskandar Shah Mohamed

JAGUH skuasy kebangsaan, Low Wee Wern membuktikan faktor pengalaman menjadi kelebihannya untuk menempah tiket ke pusingan suku akhir Terbuka Malaysia esok. 

Juara bertahan itu mara selepas menewaskan pemain muda negara, Aifa Azman dengan tiga set 11-6, 11-6, 12-10 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini. 

Wee Wern yang juga pilihan kedua kejohanan mengakui menerima tentangan sengit dalam pertarungan selama 33 minit itu. 

"Saya menyedari Aifa mula menemui rentak permainan pada set ketiga dan cuba mengejar untuk menyamakan kedudukan.   Namun, berbekalkan pengalaman, saya segera menyerap tekanan itu sehingga memperoleh mata terakhir kemenangan," katanya ketika ditemui Arena Metro.  

Pemain berusia 29 tahun dari Pulau Pinang itu akan menentang pemain Mesir, Menna Hamed yang mara selepas menewaskan seorang lagi pemain negara, Chan Yi Wen. 

Kata Wee Wern, dia akan berusaha sebaik mungkin dengan mengekalkan corak permainan sama menentang pemain pilihan ketujuh itu. 

Pemain wanita negara yang turut mara ke suku akhir adalah Rachel Arnold, Aira Azman dan Ooi Kah Yan manakala pemain lelaki diwakili Ng Eain Yow dan  Ivan Yuen. 

Pada edisi tahun lalu, Wee Wern yang menduduki ranking ke-23 dunia menjuarai kejohanan selepas menewaskan pilihan keempat, Satomi Watanabe dari Jepun dengan straight set dalam masa hanya 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 7:56 PM