Granit Xhaka. Foto File Reuters
Granit Xhaka. Foto File Reuters
Reuters

PENGURUS Arsenal, Unai Emery berharap Granit Xhaka mampu menambat semula hati penyokong selepas pemain tengah Switzerland itu dipilih sebagai kapten The Gunners yang baru hasil undian di bilik persalinan pasukan.

Xhaka memakai lilitan kapten sebanyak enam kali musim ini, mengatasi Pierre-Emerick Aubameyang, Hector Bellerin, Alexandre Lacazette dan Mesut Ozil dalam undian itu.

Xhaka dikritik hebat pada awal musim ini selepas melakukan banyak kesilapan termasuk melepaskan satu penalti ketika diikat 2-2 ketika berdepan Tottenham Hotspur.

Namun, Emery menyifatkan pemain antarabangsa Switzerland itu sudah belajar daripada kesilapan yang dilakukan.

"Dia (Xhaka) sudah matang, banyak pengalaman. Kami memang biasa hidup dalam tekanan dan dikritik, sebagai jurulatih mahupun pemain dan juga kelab,” kata Emery kepada wartawan menjelang perlawanan menentang Manchester United di Old Trafford, awal pagi Selasa ini.

"Saya ada bercakap dengannya, kami mahu menukar tanggapan penyokong ke atasnya. Rasa hormat peringkat dalaman amat penting. Saya percaya dan yakin dengannya. Dia pemain yang baik, seorang yang profesional.

"Kadangkala dia melakukan kesilapan tetapi apa yang penting dia berubah. Cabaran untuknya ialah mengubah tanggapan penyokong ke atas dirinya dan meningkat setiap kali perlawanan.”

Pertahanan Arsenal mendapat suntikan dengan kehadiran semula Rob Holding, Kieran Tierney dan Hector Bellerin yang kesemuanya beraksi ketika mencatat kemenangan ke atas Nottingham Forest pada aksi Piala Liga, Selasa lalu dan Emery berkata ia berita yang hebat untuk memperoleh khidmat pemain berkenaan semula.

"Kami mampu menjadi pencabar sebenar dengan kehadiran mereka semula.” kata Emery. “Pada kami semua pemain diperlukan... ia saat yang tepat. Kami gembira dengan kehadiran Rob Holding, Hector dan Kieran.

"Kini kami mempunyai dua senarai kecederaan, Lacazette (pergelangan kaki) dan Emile Smith Rowe (gegaran kepala). Harap dalam beberapa minggu ini mereka akan kembali menyertai latihan dan dapat beraksi semula.”

Arsenal di kedudukan keempat carta liga dengan 11 mata daripada enam perlawanan manakala United ketinggalan tiga mata di belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 8:24 AM