Chandran ketika aksi bersama skuad negara. FOTO Ihsan Pembaca.
Meor Riduwan Meor Ahmad


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan pemergian bekas kapten dan jurulatih kebangsaan, Datuk M Chandran satu kehilangan besar kepada negara.

Legenda bola sepak Malaysia dan Selangor itu dilaporkan meninggal dunia pada usia 77 tahun di rumahnya di Ampang Jaya, Selangor jam 7.30 pagi ini.

"Mendiang yang menjadi kapten skuad kebangsaan dan Selangor adalah anggota skuad Olimpik 1972 di Munich dan turut pernah menjadi jurulatih kebangsaan.

"Sudah tentu ia satu kehilangan besar kepada bola sepak negara. Jasa dan pengorbanannya pasti akan terus dikenang selamanya," katanya dalam kenyataan di sini.

Chandran yang dilahirkan di Sungai Siput, Perak pada 1942 meninggalkan balu, Datin Pushtalata dan dua orang anak lelaki, C Kumarason dan C Vicnaraj, masing-masing berusia 38 dan 36 tahun.

Sebelum ini mendiang dilaporkan dalam keadaan uzur di kediamannya akibat jangkitan paru-paru serius dan turut dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Aktif dalam bola sepak awal 1960-an sehingga dapat mewakili skuad negara sebanyak 163 kali membabitkan perlawanan antarabangsa, mendiang adalah seorang pemain pertahanan dihormati di peringkat Asia.

Kemuncak kariernya adalah dipilih menjadi kapten skuad negara dalam kelayakan Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman apabila menewaskan Korea Selatan dan Jepun serta memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran.

Penghormatan terakhir boleh dilakukan di kediaman beralamat No 7 Jalan 4 Ampang Jaya bermula jam 12.30 tengah hari dan upacara persemadian akan dilakukan di Sentul Cremation Ground, berdekatan kuil AthiEswaran jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 11:58 AM