Ronaldo (kiri) meraikan jaringan bersama Dybala. FOTO EPA
AFP

CRISTIANO Ronaldo kembali selepas pulih daripada kecederaan menakutkan untuk membantu menjaringkan gol ketika Juventus mengatasi pasukan bergelut, SPAL, 2-0 untuk bersaing di kedudukan teratas Serie A.

Ronaldo menjaringkan gol ketiga berturut-turut di gelanggang sendiri musim ini selepas 78 minit di Turin untuk menambah jaringan pembukaan Miralem Pjanic sebelum waktu rehat.

Juventus mempunyai 16 mata daripada enam perlawanan mengatasi satu mata di belakang Inter - pasukan tunggal yang memperoleh mata maksimum.

Ronaldo direhatkan pada pertengahan minggu lalu selepas mengalami kecederaan otot ketika pasukan itu mencatat kemenangan ke atas Brescia.

Juventus akan berdepan Bayer Leverkusen di Turin dalam saingan Liga Juara-Juara pada Selasa diikuti menentang Inter di San Siro, Ahad depan.


Maurizio Sarri memerhatikan Ronaldo pada perlawanan Serie A. FOTO AFP

“Inter? Saya belum pernah melihat aksi mereka musim ini,” kata jurulatih Juventus, Maurizio Sarri.

“Saya tahu mereka melakukan dengan baik, tetapi tidak ragu-ragu melihat siapa jurulatih mereka. Buat masa ini tumpuan kami adalah Liga Juara-Juara menentang Leverkusen.”

Sarri berkata dia berpuas hati dengan pilihan bahagian serangan sebagai persediaan perlawanan kedua Eropah selepas seri 2-2 menentang Atletico Madrid pada aksi sebelum ini.

“Dybala penting untuk kami, Cristiano menghidupkan jentera serangan, dia mempunyai tiga atau empat peluang. Dan jangan dilupakan (Gonzalo) Higuain," kata Sarri mengenai pemain Argentina yang berada di bangku simpanan itu.

“Saya mempunyai tiga penyerang yang memuaskan hati dengan apa sahaja keputusan yang diambil.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 1:23 PM