Syazwan Msar


PERSATUAN Sukan Elektronik Kuala Lumpur (ESKL) bakal memperkenalkan sukan terbabit di peringkat sekolah menengah untuk melahirkan lebih ramai lagi atlet mewakili negara pada masa akan datang.

Presiden ESKL Hisham Darus berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSKL) dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi membincangkan kaedah terbaik bagi melaksanakan inisiatif terbabit.

Beliau berkata, e-sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan belia harus diterapkan daripada peringkat akar umbi menerusi penubuhan kelab di sekolah seterusnya boleh mengasah bakat mereka untuk peringkat lebih tinggi.

“Kita mahu wujudkan kelab e-sukan yang akan diperkenalkan di setiap sekolah menengah pada Januari depan dan setakat ini kita sudah bertemu atau bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan kelulusan.

“Sukan terbabit perlu diberikan pendedahan awal kerana mereka boleh mewakili negeri atau negara pada masa akan datang seterusnya pelajar mengetahui bahawa ia bukanlah aktiviti yang membuang masa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kuala Lumpur Esport Masters 2020, di sini, hari ini.

KHALID Samad bersama Dr Hasnul Faizal Hushin (dua dari kanan) dan Presiden ESKL, Hisham Darus (tiga dari kiri) bergambar bersama atlet E-Sport Kuala Lumpur di majlis pelancaran Kuala Lumpur Esports Masters 2020 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KHALID Samad bersama Dr Hasnul Faizal Hushin (dua dari kanan) dan Presiden ESKL, Hisham Darus (tiga dari kiri) bergambar bersama atlet E-Sport Kuala Lumpur di majlis pelancaran Kuala Lumpur Esports Masters 2020 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Majlis berkenaan di sempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata, kementeriannya akan berusaha membantu mendapatkan dana berjumlah kira-kira RM500,000 bagi menjayakan penganjuran Kuala Lumpur Esport Masters 2020.

“Dana terbabit diharap dapat dimanfaatkan oleh persatuan dalam menjalankan fungsi atau peranan dan aktiviti pada masa akan datang.

“Saya turut menyokong penganjuran majlis terbabit dan berusaha mengumpul dana itu dan turut dimaklumkan akan mempertandingkan lima kategori dengan hadiah terkumpul sebanyak RM1 juta.

“Penganjuran berprestij ini pasti mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pihak malah turut menyokong penubuhan persatuan e-sukan di peringkat sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 11:31 PM