MUTU pengadilan Zulkarnain buat Nafuzi kecewa. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
MUTU pengadilan Zulkarnain buat Nafuzi kecewa. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Kuala Lumpur: Apa lagi yang boleh dilakukan Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila inisiatif mereka menyenaraikan pengadil terbaik ketika perlawanan suku akhir Piala Malaysia tetap dipertikaikan jurulatih dan peminat sukan nombor satu itu.

Ini berikutan kontroversi meletus dalam perlawanan antara Selangor menentang Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu Terengganu, sekali gus membuktikan barisan pengadil perlu melakukan rombakan bagi mengelak lebih banyak kontroversi pada masa perlawanan akan datang.

Perkara terbabit diakui Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid yang amat sedih apabila barisan pengadil terbaik dipilih tetap mencetuskan kontroversi apabila beberapa kali membuat keputusan meragukan pada perlawanan tempoh hari.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama sekretariat pengadil bagi melihat kembali keputusan yang mencetuskan kontroversi itu sebelum diambil tindakan susulan.

Katanya, sememangnya ada beberapa keputusan diragui, namun jawatankuasa pengadil tidak boleh mengambil tindakan terburu-buru tanpa melakukan siasatan lebih terperinci.

“Kami sedaya upaya mengelak daripada kontroversi membabitkan pengadil terutama ketika perlawanan penting seperti suku akhir Piala Malaysia dengan meletakkan individu terbaik mengadili perlawanan.

“Setiap pengadil itu ditapis selain merujuk kepada statistik perlawanan yang diadili sebelum ini sama ada mempunyai rekod cemerlang atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pada perlawanan suku akhir kedua Sabtu lalu, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain bagaikan memendam perasaan kecewa terhadap mutu pengadilan Zulkarnain Zakaria apabila skuad bimbingannya gagal mara selepas tewas 1-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.

“Keputusan yang dibuat membunuh motivasi pemain dan saya sendiri pernah berstatus sebagai pemain menjangkakan pengadilan perlawanan yang bermutu. Tapi ia sekadar indah khabar dari rupa apabila menjejaskan momentum perlawanan,” kata Nafuzi.

Begitu juga aksi Selangor berdepan Perak apabila gol kedua tuan rumah menerusi Khyril Muhymeen Zambri turut mencetuskan pertikaian apabila dikatakan ofsaid, namun dibenarkan oleh pengadil, Suhaizi Shukri.

Mengulas lanjut, Dali berkata, pihaknya akan memperketatkan lagi pemilihan pengadil untuk perlawanan separuh akhir Piala Malaysia bagi memastikan tiada masalah lain timbul.

Ditanya mengenai kritikan terbuka Nafuzi terhadap pengadil, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada sekretariat terlebih dulu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:01 AM
Digital NSTP Subscribe