THOMAS Lee (dua dari kiri) bersama anak lelaki Alex Lee, Anthony Lee (tiga dari kiri) mempamerkan trofi yang dipertandingkan.
Iskandar Shah Mohamed


SUBANG: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kekal komited membantu atlet dan bekas atlet negara melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi menerusi Tabung Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee.

Bagi mengisi tabung itu, badan induk berkenaan meneruskan penganjuran kejohanan golf amal kali ke-17 di Kelab Golf Saujana, Subang pada 27 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tabung Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee, Datuk Thomas Lee berkata, pihaknya menyasarkan dapat mengumpul dana berjumlah RM100,000 menerusi penyertaan 120 pemain.

“Objektif utama kejohanan itu bertujuan memperoleh dana bagi membantu atlet dan bekas atlet menyambung pengajian melalui biasiswa tajaan tabung berkenaan.

“Tabung itu sudah membantu 57 atlet termasuk sembilan daripada mereka yang kini menuntut dalam pelbagai jurusan di universiti.

“Tahun ini, kami akan terus memberi biasiswa kepada empat atlet yang terpilih,” katanya pada sidang media pelancaran kejohanan itu di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar MOM, Fong Wan Hor dan anak mendiang Alex, Anthony Lee.

Dalam pada itu, Wan Hor mengharapkan kerjasama berkenaan berterusan bagi memastikan pembangunan sukan dan masa depan atlet tempatan.

Yuran penyertaan kejohanan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu RM2,400 bagi Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), syarikat korporat (RM5,000) dan individu (RM200).

Peserta turut berpeluang memiliki jersi pasukan ragbi New Zealand yang ditandatangani pemain All Blacks melalui acara bidaan pada hari kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:00 AM