RONALDO meledak jaringan ketiga Juventus di Turin. - FOTO AFP
AFP

CRISTIANO Ronaldo menjaringkan gol pertamanya dalam aksi Liga Juara Juara ketika Juventus menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 dalam aksi Kumpulan D di Turin, awal pagi tadi.

Ronaldo merembat gol ketiga pada minit ke-89 untuk jaringan ke-127nya dalam kejohanan itu selepas Gonzalo Higuain dan Federico Bernardeschi meletakkan tuan rumah mendahului 2-0.

Juventus melonjak ke tangga teratas, sama empat mata dengan Atletico Madrid yang menewaskan Lokomotiv Moscow 2-0 di Russia.

Juara Itali itu seri 2-2 dengan kelab Sepanyol itu di Wanda Metropolitano dalam aksi pembukaan.

"Kami beraksi baik menentang pasukan yang lebih gemar memegang bola dan tidak mudah berdepan mereka," kata jurulatih Juventus, Maurizio Sarri.

"Mereka memaksa kami bekerja keras pada babak pertama. Selepas rehat mereka tampak perlahan dan kami berjaya menguasai perlawanan.”

Leverkusen berdepan tugas sukar selepas tewas 1-2 kepada Lokomotiv Moscow di tempat sendiri dan tercorot dalam kumpulan.

Juventus akan menerima kunjungan Lokomotiv selepas ini manakala Leverkusen menentang Atletico di tempat lawan pada 22 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 7:51 AM