NUR Amisha mara ke separuh akhir Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya.
NUR Amisha mara ke separuh akhir Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya.
Mohd Hafizee Mohd Arop


JUARA Muay Thai Dunia 2016, Nur Amisha Azririzal melangkah ke separuh akhir bagi kategori wanita 51 kilogram (kg) di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki, hari ini.

Nur Amisha, 17, berjaya menumpaskan lawannya Idania Leticia Alvarado Lopez dari Mexico dengan kiraan mata 30-27 untuk melayakkan diri ke separuh akhir, esok.

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin berkata, Nur Amisha menunjukkan persembahan terbaiknya untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya walaupun menerima saingan hebat lawannya.

Menurutnya, selepas berjaya memperoleh pingat emas pada Kejohanan Muay Thai Asia Timur di Hong Kong, bulan lalu, Nur Amisha adalah prospek untuk memenangi pingat emas pada kejohanan ini.

“Saya berharap Nur Amisha akan terus mempamerkan persembahan konsisten untuk separuh akhir esok dan layak ke perlawanan akhir sekali gus membawa pulang pingat untuk negara.

“Keadaan Nur Amisha sekarang ini cukup baik dan kami juga sudah membuat persiapan sebaiknya termasuk dengan berlatih di Thailand ketika negara dilanda jerebu baru-baru ini,” katanya yang kini turut berada di Turki.

Nur Amisha akan menentang peninju tuan rumah, Sevgi Dogan, pada peringkat separuh akhir, esok, begitu juga Mohamad Rifdean Masdor akan menentang Oshan Wathsuka dari Sri Lanka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 9:21 PM