MENDOZA meraikan jaringan lewat menentang Marseille di Stade de la Licorne, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
MENDOZA meraikan jaringan lewat menentang Marseille di Stade de la Licorne, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

OLYMPIQUE de Marseille terus merudum apabila mereka tewas 1-3 di tangan Amiens di gelanggang lawan pada aksi Ligue 1 Perancis awal pagi tadi susulan tiga keputusan seri berturut-turut.

Amiens muncul pemenang menerusi penalti Serhou Guirassy pada babak pertama dan gol lewat Stiven Mendoza, yang memberikan tuan rumah tiga mata selepas pemain OM, Dario Benedetto memadamkan gol pendahuluan Haitam Aleesami.

Keputusan itu meletakkan Marseille di tangga keenam dengan 13 mata daripada sembilan perlawanan, lima mata di belakang pendahulu Paris St Germain yang melayan kunjungan pasukan tangga kedua Angers malam ini.

Amiens, di tangga ke-11 dengan 11 mata, mendahului pada minit ke-11 apabila Aleesami merembat voli hasil hantaran silang Gael Kakuta, namun Benedetto menemui semula sentuhan jaringannya untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-23 dengan tendangan leret mengagumkan.

BENEDETTO (tengah) bersaing dengan pemain Amiens, Arturo Calabresi. — FOTO Reuters
BENEDETTO (tengah) bersaing dengan pemain Amiens, Arturo Calabresi. — FOTO Reuters

Bagaimanapun Amiens lebih dominan dan mereka mendahului sekali lagi empat minit sebelum rehat apabila Guirassy menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Duje Caleta-Car.

Pelawat tidak berputus asa dan Benedetto hampir meledak jaringan pada awal babak kedua namun sepakan lencongnya berjaya dikeluarkan Regis Gurtner.

Amiens melengkapkan kemenangan pada minit ketiga masa kecederaan menerusi Mendoza berikutan satu serangan balas pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 7:43 AM