PEMAIN Argentina, Matias Moroni (kanan) bergelut dengan pemain England, Jonny May di Tokyo. - FOTO AFP
AFP

JURULATIH England, Eddie Jones gembira apabila mereka menjadi pasukan pertama mara ke suku akhir Piala Dunia Ragbi selepas menewaskan Argentina walaupun berbaki satu lagi perlawanan.

Empat tahun selepas gagal melepasi peringkat kumpulan di tempat sendiri, England mengatasi cabaran Argentina yang beraksi 14 pemain dengan 39-10 untuk kemenangan ketiga berturut-turut dalam Kumpulan C.

"Kami sudah sampai sasaran --- 15 mata daripada tiga perlawanan. Kami beraksi di hadapan penonton fantastik di Stadium Tokyo dan satu lagi hari hebat di Piala Dunia,” kata Jones.

Pemain sayap, Jack Nowell yang kembali beraksi selepas pulih kecederaan melakukan try saat akhir selain Jonny May, Elliot Daly, Ben Youngs, George Ford dan Luke Cowan-Dickie turut melintasi garisan putih.

Lawan menunggu England di peringkat suku akhir sama ada Australia atau Wales dan mereka boleh menduduki tangga teratas kumpulan dengan menewaskan Perancis minggu depan.

Argentina pula mengharapkan Perancis kalah dua aksi seterusnya untuk menghidupkan peluang mereka ke suku akhir.

Kekalahan kepada England hari ini yang ke-10 berturut-turut di tangan pasukan itu dan tewas 29 daripada 34 perlawanan terakhir mereka. Pencapaian buruk daripada pasukan yang mara ke separuh akhir dalam dua daripada tiga kejohanan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 8:22 PM