Malik Muhamad

PEMAIN import Terengganu FC (TFC) kelahiran Bouafle, Ivory Coast, Kipre Tchetche mula dijulang sebagai wira pasukan sejak menyertai skuad Pantai Timur itu pada 2017.

Memiliki susuk tubuh tegap dan penyudah tajam di depan gawang gol meletakkan Tchetche yang digelar ‘Drogba Ganu’ oleh peminat skuad Penyu itu muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super tahun lalu dengan 14 gol.

Tchetche, 32, gemar meluangkan masa ‘terperap’ di rumah sambil menonton video dan siaran membabitkan perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa di depan televisyen di rumahnya jika tidak mempunyai tugasan bersama pasukan.

“Tidak ada aktiviti yang istimewa selain bermain bola sepak sejak saya memulakan karier sebagai pemain profesional, masa terluang yang ada saya gunakan untuk berehat, saya tidak berapa gemar menghabiskan masa di luar rumah seperti di pantai atau di mana-mana.

“Lebih-lebih lagi selepas nama kian popular, tidak mudah bagi saya untuk keluar rumah seperti sebelum ini, jadi masa yang ada saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk berehat selain kadang-kadang berenang di kolam dan pergi gimnasium tempat tinggal saya.

“Saya paling gemar menyaksikan perlawanan bola sepak antarabangsa kerana dalam masa yang sama boleh belajar teknik permainan bola sepak agar menjadi lebih bagus ketika beraksi.” katanya.

TCHETCHE gemar bersantai di kediaman untuk merehatkan badan dan minda selepas bertungkus-lumus di padang. FOTO Rozainah Zakaria

Menurut Tchetche, jika cuti panjang pula dia akan mengintai ruang untuk meluangkan masa berehat di pulau kerana sukakan alam semula jadi seperti pantai dan hutan yang juga terapi sesuai merehatkan minda.

Katanya, Terengganu sama seperti di negaranya yang banyak kawasan persisiran pantai dan pulau, antara pulau yang pernah dilawati iaitu Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Perhentian selain beberapa lagi pulau lain di negara ini.

Berbicara mengenai selera makanan pula Tchetche tidak memilih apabila mula-mula tiba di Terengganu, dia sudah mencuba keropok lekor, nasi lemak serta nasi dagang yang disifatkan sangat enak.

“Namun, sekarang saya lebih suka ayam penyet dan nasi kari ayam, begitu juga dengan isteri, Gouro Prisca kerana masakan itu lebih kurang sama dengan menu di negara saya.

“Bagaimanapun makanan bukan masalah utama apabila saya bekerja di Terengganu, secara jujurnya saya tidak menghadapi masalah dengan makanan walau di manapun saya pergi sebab apabila menjadi pemain profesional kita perlu cepat menyesuaikan diri.

“Maknanya saya suka tinggal di Terengganu bukan kerana keindahan pantainya dan makanan semata-mata, tetapi bandarnya juga kurang bising ditambah pula tidak ada kesesakan jalan yang teruk selain masyarakat di sini peramah dan baik, sekali gus berjaya menambat hati saya,” ujar Tchetche ketika ditemui di kediamannya di Ikon Residen, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

TCHETCHE di kolam renang kediamannya. FOTO Rozainah Zakaria

Tchetche yang menamatkan zaman bujang pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Kipre Grace 10, dan Kipre Astrid, 9 yang kini belajar di Ivory Coast.

Ditanya impiannya yang belum tercapai sejak mula menyertai skuad TFC, anak bongsu daripada enam beradik yang fasih berbahasa Perancis kerana negaranya pernah dijajah oleh Perancis pada 1960 mengakui dia tidak akan puas dan gembira jika pasukan yang disertai tidak merangkul sebarang kejuaraan.

“Saya seorang yang bercita-cita besar, matlamat saya ialah untuk memenangi piala dengan pasukan yang disertai dan menjadi pemain yang terbaik setiap hari, berdasarkan rekod ketika beraksi bersama kelab Jeunesse di Azerbaijan (2008-2011), Azam FC Liga Tanzania (2011-2016) dan Al-Suwaiq dalam Liga Oman (2016-2017), saya berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala.

“Oleh sebab itu saya selalu beritahu kawan-kawan, kita mesti cuba untuk dapatkan trofi dalam Liga Malaysia lebih-lebih lagi selepas terlepas merangkul gelaran Piala Malaysia musim lalu sesudah muncul naib juara, lagipun saya beritahu diri saya dilahirkan untuk menang, tiada benda yang mustahil, tapi kadangkala ada benda yang kita mahu tidak dapat.

“Namun, saya sedar ia bukanlah sesuatu yang mudah, maka saya perlu bekerja lebih keras lagi dan fokus untuk merealisasikan impian itu dan usah sesekali putus asa kerana sikap itu boleh ‘membunuh’ karier seseorang pemain,” kata Tchetche yang menasihati pemain dalam Liga Malaysia mencontohi usaha keras seperti bintang pemain Portugal, Cristiano Ronaldo sehingga bergelar pemain terbaik dunia.

TCHETCHE dan isteri, Gouro Prisca luang masa berehat di pulau jika bercuti panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:45 AM