Tchetche belum buat keputusan. FOTO NSTP
Malik Muhamad


PENYERANG sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche belum membuat keputusan sama ada akan terus kekal menyarung jersi skuad Penyu musim depan atau beralih angin dengan pasukan baharu.

Ini kerana pemain kelahiran Ivory Coast itu belum bersemuka secara rasmi dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana menghormati kontrak yang akan berakhir bulan depan.

Malah ketika ditanya adakah dia masih berminat menyarung jersi skuad TFC, pemain yang menyarung jersi 23 itu yang juga pemain paling bernilai skuad itu enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu.

“Secara jujurnya, saya belum membuat keputusan secara rasmi lagi sama ada akan terus bermain bersama pasukan TFC musim depan atau sebaliknya.

“Lagipun setakat ini belum ada perbincangan secara rasmi lagi antara saya dengan persatuan, mungkin perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut selepas ini sebelum saya membuat keputusan,” ujar Tchetche.

Pemain berketinggian 1.72 meter itu menyarung jersi skuad Penyu pada pertengahan musim 2017 menggantikan penyerang kelahiran Argentina, Federico Falcone yang gagal menyerlah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 4:59 PM