DR Siti Hasmah (kiri) bersama Rashid selepas melancarkan majlis Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ferzalfie Fauzi


TUN Dr Siti Hasmah Mohamad Ali jelas masih lagi tidak dapat melupakan detik kegemilangan badminton negara ketika Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 dan sebak selepas melihat kebanyakkan bekas pemain berkumpul di Majlis Pelancaran Juara Tangkis: Tun Dr Siti Hasmah semalam.

Antara detik tegang yang masih segar dalam ingatannya ialah pertelingkahan antara dua jaguh beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang.

Isteri Perdana Menteri itu mengakui terpaksa menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan faham itu sebelum kedua-duanya berjaya memberikan persembahan terbaik untuk membantu Malaysia juara.

Menurutnya, jalan terbaik ialah beliau sendiri berjumpa dengan Soon Kit dalam usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Saya terpaksa berjumpa dengan Soon Kit dan mengatakan kepadanya 'Soon Kit, kamu tidak akan mendapat pasangan lain selain daripada Beng Kiang'," katanya dalam ucapan hari ini.

Dr Siti Hasmah juga menyayangi kesemua pemain ketika itu yang menghormati dan menganggapnya sebagai ibu.

"Saya tidak akan melupakan detik manis Malaysia muncul juara ketika itu.

"Ramai orang bertanya kepada saya apa yang perlu dilakukan ketika saya menjadi penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan saya menjawab saya tidak melakukan apa-apa. Aspek teknikal saya serahkan kepada jurulatih serta pemain dan tanggungjawab saya adalah menjadi ibu kepada mereka semua.

"Pemain yang mahu jadi juara dalam badminton, pertama sekali mereka ada hati dan minat. Selepas itu, perlu bekerja keras, mendengar arahan jurulatih dan berdisiplin," katanya yang memberitahu beliau 'bersara' daripada bermain badminton pada usia 75 tahun kerana mengalami kecederaan bahu.

Pada aksi final Piala Thomas 1992, skuad badminton negara merekodkan gelaran kelima apabila muncul juara dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.

Soon Kit-Beng Kiang turut menyumbangkan mata kepada pasukan apabila menewaskan pasangan Ricky Subagja-Rexy Mainaky dalam perlawanan tiga set 15-12, 10-15, 15-8.

Dalam pada itu, Soon Kit mengakui pendedahan dibuat Dr Siti Hasmah dan secara berseloroh berkata ia adalah sejarah lama tetapi mengakui memang berlaku perselisihan faham dengan Beng Kiang disebabkan tekanan mereka sebagai pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 7:27 PM