HAFIZH Syahrin
Meor Riduwan Meor Ahmad


KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali menasihati pelumba, Hafizh Syahrin supaya mengubah gaya hidup serta memfokuskan kepada perlumbaan untuk musim depan dengan misi kembali ke MotoGP.

Menurutnya, pihaknya memang membantu pelumba terbabit dari segi penajaan untuk berada dalam pasukan Angel Nieto musim depan.

“Sebenarnya SIC yang menaja beliau untuk tempat dalam pasukan Moto2. Mereka (Angel Nieto) minta bayaran yang mahal, namun selepas kami berunding, mereka setuju mengurangkan kos sehingga tahap yang kita mampu biaya.

“Namun, penajaan hanya untuk memastikan tempat dia dalam perlumbaan Moto2 saja dan tidak termasuk gaji, tiket penerbangan, hotel dan kos latihan pengangkutan,” katanya dihubungi Arena Metro, semalam.

Razlan berkata demikian mengulas laporan akhbar ini kelmarin, mengenai nasib Hafizh Syahrin yang bakal mengharungi tempoh semusim tahun depan tanpa gaji selepas kembali ke Moto2 daripada MotoGP.


RAZLAN Razali

Menurutnya, beliau yakin dengan pengesahan penajaan daripada topi keledar dan sut perlumbaan diterima dapat menampung perbelanjaan bulanan Hafizh Syahrin.

“Memang dia tidak mendapat gaji daripada pasukan selain penajaan juga berkurang apabila turun daripada perlumbaan MotoGP ke Moto2.

“Ini kerana ‘nilainya’ juga turun mendadak dan dapat lebih setengah daripada apa diperoleh dalam MotoGP. Ini mungkin situasi paling rendah dalam kariernya, tapi dia kena fokus kepada perlumbaan untuk musim depan dan ubah sikit gaya hidup,” katanya sambil memaklumkan SIC akan membantu mencari penaja baharu bagi musim depan.

Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan akan memberi maklum balas isu Hafizh Syahrin selepas pembentangan Belanjawan 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:00 AM