Pelumba Ferrari, Charles Leclerc memandu kenderaannya pada sesi latihan di Litar Suzuka, Jepun hari ini. FOTO Reuters
AFP

SEMUA program Grand Prix Jepun yang dijadualkan berlangsung Sabtu termasuk kelayakan, dibatalkan sebagai langkah amaran taufan hagibis di Litar Suzuka, Jepun menurut jurucakap perlumbaan itu, hari ini.

Sesi kelayakan dijadualkan semula pada 10 pagi Ahad, dengan perlumbaan akan berlangsung jam 2.10 petang seperti yang dirancang.

“Keputusan diambil selepas jangkaan berlaku kesan taufan hagibis di Formula Satu Grand Prix Jepun, penganjur dan Persekutuan Automobil Jepun sudah membuat keputusan untuk membatalkan semua aktiviti yang berlangsung pada Sabtu 12 Oktober,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Persekutuan Otomobil Antarabangsa (FIA).

“FIA dan Formula Satu menyokong penuh keputusan ini demi memastikan keselamatan penonton, pelumba dan semua pihak di Litar Suzuka,” menurut kenyataan itu.

Keputusan itu bermakna pasukan dan pemandu hanya mempunyai dua sesi latihan pada Jumaat untuk persediaan sesi kelayakan yang dijadualkan semula pada pagi Ahad.

Sesi kelayakan Formula Satu di Jepun sebelum ini turut dipinda pada Ahad sekitar tahun 2004 dan 2010 kerana cuaca buruk.

Taufan berkenaan turut menjejaskan kerancakan Kejohanan Ragbi Piala Dunia di Jepun dengan perlawanan membabitkan England menentang Perancis di Yokohama dan New Zealand berdepan Itali di Toyota City pada Sabtu turut dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 11:36 AM