Shapawi hadiri majlis mesyuarat di Manila. FOTO NSTP
Shapawi hadiri majlis mesyuarat di Manila. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


INISIATIF bidaan Piala Dunia FIFA 2034 di ASEAN memasuki fasa baru dengan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi mengkaji proses penyediaan dokumen berkaitan akan diadakan di ibu negara dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN di Manila pada Rabu lalu berkata, secara amnya semua Menteri Sukan ASEAN menyokong keputusan yang dibuat pemimpin negara ASEAN pada Jun lalu bagi ASEAN menawar diri sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA buat kali pertama.

Katanya, keputusan bidaan itu dibuat berdasarkan kajian kebolehlaksanaan yang dibuat oleh Malaysia sebelum ini.

"Disebabkan syarat dalam dokuman bidaan FIFA memerlukan beberapa perkara diteliti.

Jadi Menteri-Menteri Sukan ASEAN bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja bagi mengkaji lebih mendalam khususnya dalam menyediakan dokumen diperlukan FIFA bagi persediaan tuan rumah bersama.

"Kita tahu bagi Piala Dunia 2026, kita ada Mexico, Kanada dengan Amerika Syarikat menganjurkannya jadi di peringkat ASEAN mungkin bukan tiga tetapi empat atau lima negara akan menganjurkannya," katanya.

Ahmad Shapawi berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kerja itu bakal disertai persatuan bola sepak negara anggota ASEAN serta Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

"Paling tinggi sekarang ini tiga negara negara bergabung sebagai tuan rumah dan sebelum ini Korea Selatan dengan Jepun (Piala Dunia 2002).

"Jika ASEAN anjurkan mungkin boleh jadi 10 atau empat negara terbabit. Semua perkara itu perlu diteliti berdasarkan kriteria ditetapkan oleh FIFA dan selepas ini kita akan bergerak sebagai ASEAN dan tidak berasingan," katanya.

Beliau berkata syarat FIFA untuk menjadi tuan rumah, bukan saja mengambil kira berkaitan venue perlawanan malah tempat latihan.

"Jadi kemungkinan ada negara yang tidak mampu sediakan venue perlawanan tapi mencukupi untuk latihan pasukan bertanding.

"Dengan peningkatan daripada 32 kepada 48 pasukan bermula Piala Dunia 2026 nanti, jadi ruang besar untuk negara ASEAN menawarkan diri menjadi tuan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 7:27 PM