AHMAD Samsuri (empat dari kanan) bersama penaja pada majlis memperkenalkan pasukan ToP 2019 di Duying Marina & Resort. - FOTO Aswadi Alias
Azlan Muhammad Zain


CABARAN merebut kejayaan di perlumbaan Tour of Peninsular bermula esok membabitkan 115 pelumba dari 20 pasukan.

Sejumlah 20 pasukan bersaing pada edisi pertama ToP 2019 diperkenalkan pada majlis yang disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Sesuai dengan slogannya, "Storm The Weather", majlis berlangsung dalam suasana hujan namun tetap meriah. Tumpuan pastinya kepada tiga pasukan negara iaitu Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC) dan skuad kebangsaan pada saingan berstatus 2.1 pertama di Malaysia.

Tidak ketinggalan pelumba negara yang beraksi bersama pasukan luar negara iaitu Loh Sea Keong (Thailand Continental Cycling Team) serta Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Nurfitri Ammar Rosli bersama Brunei Continental Cycling Team.

Cabaran pasukan luar negara seperti Kinan Cycling Team (Jepun), Aisan Racing Team (Jepun), St George Continental Cycling Team (Australia), Oliver's Real Food Racing (Australia), 7Eleven Cliqq - Air21 by Roadbike Philippines (Filipina) dan KFC Cycling Team (Indonesia) tidak boleh dipandang mudah kerana mereka juga mempunyai pelumba yang berkaliber.

Saingan peringkat pertama akan bermula esok sejauh 180.6 kilometer bermula dari Dungun ke Kuala Terengganu dan akan menyusuri laluan ke Pahang, pendakian berstatus hors di Cameron Highlands serta berakhir di Setiawangsa dengan jarak keseluruhan 751.6km.

Perlumbaan ToP 2019 dianjurkan Motoshoot Event Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 10:41 PM