Goh Jin Wei. FOTO File NSTP
BERNAMA

PEMAIN badminton perseorangan wanita negara Goh Jin Wei selamat menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada ususnya sebagai usaha menyelamatkan kariernya, semalam.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemenang pingat emas Sukan Sea 2017 itu, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani proses pemulihan.

“Kami meminta orang ramai untuk memberikan beliau ruang dan masa sebanyak mungkin dalam tempoh pemulihan ini, kerana kami yakin dia akan kembali dengan lebih kuat lagi.

“Anda sentiasa berada dalam ingatan kami, Jin Wei!,” katanya dalam hantarannya pada akaun Instagramnya hari ini.

Mohamad Norza telah membuat hantaran gambar ketika beliau melawat Jin Wei pagi ini.

Sebelum ini dilaporkan juara bertahan itu telah digugurkan daripada skuad Sukan Sea Filipina dan juga tidak akan meneruskan usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo, selepas tidak menyertai beberapa kejohanan.

Pemain berusia 19 tahun itu menarik diri daripada menyertai Terbuka Denmark di Odense minggu ini dan juga Terbuka Perancis di Paris (22 hingga 27 Oktober).

Jin Wei bergelut dengan masalah kesakitan dalam perutnya itu sejak Januari tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:21 PM