Skuad hoki negara menjalani latihan di Genting Highlands semalam.
Saiful Affendy Sapran


ANGGAPAN menyatakan Britain bakal lebih tertekan berbanding skuad hoki negara kerana beraksi di halaman sendiri pada perlawanan play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo di London pada 2 dan 3 November depan adalah sesuatu yang sukar untuk dipercayai.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Shahril Saabah menjangkakan kesulitan itu tidak akan dirasai oleh Britain iaitu pasukan yang mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas tertinggi.

"Saya tidak jangka ia akan berlaku kepada Britain sebab mereka sudah biasa bermain di peringkat seperti ini. "Situasi mereka tidak sama berbanding skuad negara. Sebab itu saya fikir lebih baik untuk kami memberi fokus kepada persiapan sendiri," katanya.

Tambah Shahril, Britain sememangnya berada dalam kelas tersendiri dan ia menuntut fokus yang tinggi daripada setiap pemain negara apabila beraksi di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley.

"Apa yang diperlukan ketika ini adalah komitmen sepenuhnya daripada setiap pemain pada sesi latihan. "Untuk pertemuan dengan Britain tiada seorang pun pemain boleh leka kerana ia hanya akan memberi impak besar kepada pasukan," katanya.

Malaysian Tigers melalui kem pemantapan pasukan selama tiga hari di Genting Highlands sebelum terbang ke Amsterdam, Belanda Ahad ini untuk beberapa siri perlawanan persahabatan dengan kelab di sana.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans itu kemudian akan terbang ke London untuk dua aksi timbal balik bertemu Britain bagi menentukan satu tiket ke Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:25 PM