Redzuan Sheikh Ahmad sokong tindakan MFL.
Syazwan Msar


BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menyifatkan tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) adalah satu langkah yang betul demi menjaga keharmonian bola sepak tempatan.

Redzuan menegaskan bahawa hubungan utuh di antara pengendali Liga Malaysia dan syarikat telekomunikasi gergasi itu haruslah berada dalam keadaan terbaik bagi terus memacu perjalanan bola sepak negara.

Beliau juga optimis bahawa MFL dan TM dapat mencari mekanisme terbaik untuk mengangkat kualiti Liga Malaysia selain berharap tiada pihak mensensasikan tindakan MFL yang sebelum ini mengambil tindakan undang-undang terhadap TM.

“Buang yang keruh dan ambillah yang jernih. Sejujurnya saya tidak tahu apa konflik yang berlaku di antara MFL dan TM.

“Saya tidak tahu berapa banyak (jumlah) tajaan, berapa lama perjanjian dan sebagainya tetapi apa yang saya dapat katakan mereka (MFL) telah mengambil tindakan yang betul (dengan menarik balik tuntutan saman).

“Hubungan di antara MFL selaku pengendali Liga Malaysia dan penaja (TM) sebenarnya sudah lama terjalin dengan baik. Kita sudah pasti tidak mahu mendengar perkara buruk membabitkan liga tempatan,” katanya. Sebelum ini, MFL mengumumkan pihaknya menarik balik tuntutan saman terhadap TM berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia bagi musim 2019.

MFL dalam satu kenyataan rasmi kelmarin memberitahu pihaknya membuat keputusan menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu itu dibuat menerusi persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan bahawa tindakan menarik balik saman terhadap TM berkaitan pembayaran hak penyiaran membuktikan semangat kesukanan tinggi yang terjalin di antara pengendali Liga Malaysia dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu.

Sebagai rekod, TM bersama dengan MFL pada 2015 ketika itu dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan menjadi penaja FAM sejak 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:37 PM