BORISLAV Mihaylov meletak jawatan hari ini. FOTO REUTERS
Reuters

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Bulgaria Borislav Mihaylov meletak jawatan hari ini selepas penyokong mengejek pemain kulit hitam England dengan tabik Nazi dan ejekan monyet ketika aksi kelayakan Euro 2020 di Sofia, hingga mendesak pegawai perlawanan menangguhkan perlawanan sebanyak dua kali.

Perdana Menteri Boyko Borissov meminta Mihaylov yang juga bekas penjaga gol Bulgaria untuk melepaskan jawatan.

Akibat daripada apa yang diperkatakan pengerusi FA Inggeris Greg Clarke sebagai ‘salah satu daripada malam yang menakutkan dalam bola sepak’ turut mencetuskan gesaan supaya aktivis dan ahli politik anti perkauman mengambil tindakan segera.

Jurucakap Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata badan induk bola sepak Eropah UEFA yang juga penganjur kejohanan itu perlu melakukan lebih usaha dalam menangani isu perkauman yang kurang menyenangkan itu.

Isu berkenaan sekian lama membarah dalam bola sepak Eropah dengan insiden berkaitan perkauman ketika perlawanan semakin buruk malah pemain turut dikecam di media sosial.

UEFA sudah pun memerintahkan penutupan separa stadium Vasil Levski di Sofia untuk perlawanan England selepas kelakuan biadap penyokong Bulgaria pada aksi kelayakan menentang Republik Czech dan Kosovo, Jun lalu.

Presiden UEFA Aleksander Ceferin perkara itu tidak boleh diselesaikan pihak bola sepak, malah ahli politik perlu memainkan peranan yang besar.

“Persatuan bola sepak saja tidak boleh menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu melakukan lebih lagi dalam usaha ini. Hanya dengan bekerjasama atas nama kesopanan dan maruah, kita akan dapat menunjukkan peningkatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:06 AM