Ekspo Sukan padat dengan pelbagai aktiviti dan program.

PUSAT Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menganjurkan Ekspo Sukan sempena Festival Keusahawanan UiTM 2019 pada Sabtu dan Ahad ini.

Program yang dianjurkan di Dewan Kompleks Sukan UiTM Shah Alam membabitkan pelbagai aktiviti antaranya jualan dan pameran barangan sukan, pertandingan e-games, pertandingan sukan serta tayangan skrin besar Japan Moto GP dan Ragbi Piala Dunia.

Setiausaha Ekspo Sukan UiTM 2019 Zamri Abd Kahar berkata antara objektif utama penganjuran ekspo ini adalah mendedahkan mahasiswa UiTM untuk menimba pengalaman bersama syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam ekspo ini.

Katanya, berkonsepkan 'mentor dan protege', mahasiswa ini akan diberikan ilmu dan tunjuk ajar oleh syarikat-syarikat ini mengenai selok belok dunia perniagaan bagi memupuk minat mereka untuk menjadi usahawan suatu hari nanti.

Sebanyak 11 syarikat terbabit dalam ekspo ini seperti Let's Play, Duopharma, Fitech, Enervive, Al-Ikhsan, RS Machineries, Active Sports, Hakka Clo, Fitness Inspire, Decathlon dan syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

Ekspo bermula dari jam 9 pagi hingga 7 petang dan terbuka kepada semua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:42 PM