KAFA melantik Mohamad Sabu sebagai penasihat badan induk bola sepak Kelantan. FOTO Ihsan KAFA

PELANTIKAN Mohamad Sabu sebagai penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dilihat bertepatan ketika usaha badan induk itu membina semula pasukan ke arah lebih baik.

Secara tidak langsung, kehadiran Menteri Pertahanan itu dilihat mampu menarik keyakinan pihak korporat untuk tampil bersama KAFA.

Pengerusi Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pelantikan itu dilihat sebagai satu langkah baik ketika usaha badan induk itu membersihkan semula kemelut dan juga isu berbangkit sebelum ini.

"Saya selaku Exco KAFA merangkap pengerusi penajaan ingin merakamkan jutaan terima kasih atas penerimaan pelantikan.

"Dengan pelantikan ini, ia sudah pasti memeriahkan lagi bola sepak Kelantan kerana Yang Berhormat Menteri sudah sinonim dengan rakyat negeri ini.

"Dengan pelantikan ini juga sedikit sebanyak akan memberi keyakinan kepada bakal penaja," katanya ketika dihubungi.

KAFA menerusi Presidennya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah semalam mengumumkan pelantikan Mohamad Sabu sebagai penasihat badan induk berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:30 PM