SKUAD Britain meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru. - FOTO Zain Ahmed
Rizar Mohd Noor


SENTUHAN penyudah berbisa dimiliki Stuart Rushmere memastikan Britain melengkapkan kejuaraan dua tahun berturut-turut selepas menewaskan India 2-1 dalam aksi final Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Lebih manis, Rushmere sebelum itu menjaringkan gol penyamaan Britain minit ke-50 bagi memadam gol pendahuluan India yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Gurusahibjit Singh minit ke-49.

Kejayaan kali ini turut menyaksikan Britain menjadi pasukan menjuarai saingan SOJC sebanyak tiga kali selepas turut melakukannya pada edisi 2015 dan 2018.

“Ia perlawanan sengit dan India bermain dengan baik sehingga kami lebih banyak bertahan. Namun, saya ingatkan kepada pemain untuk kekal fokus dan akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan ini.

“Kejayaan ini sememangnya bermakna kerana bukan saja kami mempertahankan gelaran juara tetapi menjadi pasukan pertama muncul juara tiga kali. Ini kejohanan cukup istimewa buat kami dan kami pasti kembali lagi tahun depan,” kata jurulatih Britain, Jon Bleby.

Sementara itu, jurulatih India, B J Kariappa tetapi memuji komitmen ditunjukkan barisan pemainnya dan menyifatkan tuah tidak menyebelahi mereka bagi muncul juara pada saingan kali ini.

“Banyak peluang kami dapat untuk menjaringkan gol tetapi pemain gagal menyudahkannya. Apa pun, pemain sudah memberikan terbaik dan kami pasti kembali ke sini tahun depan,” kata Kariapppa.

Ini kali keempat India muncul naib juara selepas 2012, 2015 dan 2018 tetapi anak buah Kariappa sudah dua kali muncul juara iaitu pada edisi 2013 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:55 PM