DYBALA (kanan) merembat masuk gol kemenangan di Stadium Allianz. — FOTO Reuters
AFP

MAURIZIO Sarri memuji Juventus kerana tidak panik ketika dua gol pantas Paulo Dybala pada babak kedua menyelamatkan pasukan itu selepas mengatasi Lokomotiv Moscow 2-1 pada aksi kumpulan Liga Juara-Juara di Turin, awal pagi tadi.

Juara Itali itu ketinggalan kepada kelab Russia dengan berbaki 13 minit di Stadium Allianz apabila Aleksei Miranchuk meletakkan pelawat di depan selepas setengah jam.

Namun Dybala menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-77 dan menambah gol dua minit kemudian untuk mencerahkan peluang Juventus dalam Kumpulan D dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Anak buah Sarri seri dengan Atletico Madrid dan mengalahkan Bayer Leverkusen 3-0 dalam dua perlawanan pertama.

Atletico turut mengumpul tujuh mata, selepas mengalahkan Leverkusen 1-0 di Sepanyol awal pagi tadi dengan Lokomotiv di tangga ketiga mempunyai tiga mata.


RONALDO (dua kanan) bersaing dengan penjaga gol Lokomotiv, Guilherme. — FOTO EPA

“Ia menjadi lebih sukar apabila kami melepaskan gol sebegini,” kata Sarri, bekas bos Chelsea.

“Tapi kami bertindak baik kerana tidak panik. Kami sedar kami boleh bangkit untuk melakar kemenangan.

“Kami melakukan 25 percubaan ke arah gol, kami mengekalkan rekod pegangan bola, jadi kami bermain dengan amat bagus.

“Ia bukannya hari yang luar biasa, kami bermain setiap tiga hari, jadi ia tidaklah cemerlang.”

Cristiano Ronaldo terlepas peluang bagi satu lagi rekod menjaringkan gol menentang kelab berbeza ke-34 dalam Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 10:41 AM