SKUAD bawah-18 (B-18). Foto FAM
Meor Riduwan Meor Ahmad


SKUAD bawah-18 (B-18) mengikut jejak pasukan senior apabila menewaskan pasukan B-18 Sri Lanka, 4-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Arena MPSJ Stadium, Subang Jaya, petang tadi.

Pada 6 Oktober lalu, Harimau Malaya membenam skuad ‘Singa Emas’, 6-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Anak didik Brad Maloney nyata tidak memberi ruang kepada lawan apabila membolosi gawang lawan seawal minit kedua menerusi Muhammad Muslihuddin Atiq sebelum perlawanan dihentikan seminit kemudian akibat hujan dan kilat berterusan.

Sebaik perlawanan bersambung jam 5.55 petang, pemain B-18 terus mempamerkan persembahan bertenaga untuk mencipta tiga lagi gol menerusi Fahmi Daniel pada m-29, diikuti gol kedua Muslihuddin pada m-33 dan Faris Kamardin, m-69.

Esok, skuad negara yang kini dalam persiapan bagi pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 dari 31 Oktober hingga 11 November depan di Phnom Penh, Kemboja akan menentang skuad B-18 Taiwan jam 3.30 petang di padang sama.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan G akan membuka kempen menentang tuan rumah, Kemboja pada 2 November 2019 diikuti aksi bertemu Brunei (6 November), Kepulauan Mariana Utara (8 November) dan Thailand (10 November).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 9:52 PM