SHAH Firdaus gagal ke suku akhir.
Azlan Muhammad Zain


CABARAN empat pelumba trek negara di siri pertama Piala Dunia yang berlangsung di Minsk, Belarus berakhir tanpa sebarang kilauan pingat.

Harapan terakhir terarah kepada Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut individu namun gagal mara ke suku akhir apabila terkandas di pusingan kedua kepada Jeffrey Hoogland dari Belanda sebentar tadi.

Terdahulu dalam aksi kelayakan pecut individu, dia berada di kedudukan ke-18 terpantas menerusi catatan masa 9.924 saat dengan pelumba Belanda di kedudukan pertama dengan 9.465s.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Zonis di tempat ke-29 dengan 10.221s sekali gus gagal mara ke pusingan pertama.

Nasib malang menimpa Shah Firdaus dalam keirin apabila disingkirkan komisar perlumbaan pada separuh akhir kerana didakwa melakukan kesalahan semasa perlumbaan.

Ratu trek negara, Fatehah Mustapa dan Anis Amira Rosidi turut terkandas awal dalam acara keirin apabila gagal memanfaatkan peluang dalam repechage selepas gagal di pusingan pertama.

Fatehah meraih tempat kedua di pada saringan kelima repechage dengan pelumba Indonesia, Crismonita Dwi Putri muncul juara untuk menempah tiket ke separuh akhir.

Saingan kelayakan pecut individu menyaksikan Fatehah melakukan 11.168 saat untuk di kedudukan ke-24 dan mara ke pusingan pertama namun ditewaskan pelumba Russia, Anastasiia Voinova.

Ia menghampiri rekod kebangsaan acara itu, 11.108s yang juga miliknya ketika Kejohanan Trek Dunia di Paris pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 9:30 PM