MEGAT Zulkarnain beramah mesra bersama delegasi persatuan sukan kebangsaan berbasikal pada Bengkel Penetapan Sasaran Pingat Kontinjen Sukan Sea di Kinrara Resort. - FOTO Saifullizan Tamadi
Iskandar Shah Mohamed


KONTINJEN negara dilihat mampu mencapai sasaran meraih kutipan pingat emas paling banyak di temasya luar Malaysia sekali gus mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan SEA.

Keyakinan itu disuarakan ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin antaranya berdasarkan komitmen tinggi semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) dan prestasi atlet kebangsaan.

"Ramai atlet sudah menyertai kejohanan antarabangsa selain menjalani latihan di luar negara dan ia kini bukan isu sama ada mereka dapat meraih pingat atau sebaliknya termasuk berkaitan isu kecederaan.

"Persatuan (NSA) tahu apa perlu dilakukan untuk Sukan SEA Filipina dan mereka memberi sasaran minimum kerana mungkin tidak mahu terlalu optimis. Namun, kita masih menetapkan sasaran dan apa yang penting adalah strategi untuk mencapai emas paling banyak di luar Kuala Lumpur. Saya yakin kita mampu mencapai sasaran itu," katanya ketika ditemui pada Bengkel Penetapan Sasaran Pingat Kontinjen Sukan SEA di sini, hari ini.

Pada edisi Kuala Lumpur 2017, Malaysia menjadi juara keseluruhan temasya dwitahunan itu dengan memperoleh pencapaian gemilang merangkul 145 emas, 92 perak and 86 gangsa, jauh meninggalkan pencabar terdekat, Thailand dan Vietnam.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain mengakui pihaknya sudah mempunyai jumlah sasaran pingat difikirkan realistik namun ia hanya diputuskan di peringkat dalaman sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai isu penukaran venue atau acara bakal digugurkan, beliau berkata, perkara berkenaan setakat ini tidak membabitkan mana-mana atlet kebangsaan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:01 PM