MUSTAFI (tengah) menanduk masuk gol Arsenal di Guimaraes. — FOTO Reuters
AFP

PRESTASI hambar Arsenal berterusan ketika pasukan keduanya menghampiri pusingan 32 terakhir Liga Europa apabila seri 1-1 di Vitoria Guimaraes, awal pagi tadi.

Tandukan pertahanan Shkodran Mustafi 10 minit sebelum tamat kelihatan mampu memberikan Gunners tiga mata dan mengekalkan rekod 100 peratus mereka dalam Kumpulan F.

Bagaimanapun Vitoria meraih mata pertama mereka pada peringkat kumpulan susulan gol penyamaan akrobatik Bruno Duarte pada masa kecederaan.

Arsenal masih berada di kedudukan terbaik layak ke peringkat kalah mati ketika mereka mengungguli kumpulan dengan 10 mata daripada empat aksi pertama.

Namun satu lagi persembahan di bawah tahap sebenar serta keputusan yang tidak memberangsangkan tidak dapat mengendurkan tekanan terhadap pengurus Unai Emery.

DUARTE (tengah) melakukan sepakan akrobatik yang menerjah jaring bagi gol penyamaan Vitoria. — FOTO EPA

“Dalam pertandingan ini objektif kami adalah menjuarai kumpulan. Kami akan bermain dua aksi berikutnya untuk memastikan kami berada di posisi itu,” kata Emery.

Pengendali dari Sepanyol itu dikritik hebat kerana hanya meraih dua kemenangan dalam sembilan aksi Liga Perdana Inggeris, meninggalkan mereka enam mata di luar kelompok empat teratas dan Emery lebih mementingkan kunjungan ke Leicester Sabtu ini dengan kesebelasan utamanya.

Pierre-Emerick Aubameyang dinamakan sebagai kapten baharu kelmarin selepas Granit Xhaka dilucutkan daripada tanggungjawab itu kerana kemarahannya terhadap peminat apabila digantikan ketika menentang Crystal Palace 10 hari lalu.

Namun Aubameyang sendiri tidak berada di bangku simpanan ketika Emery melakukan lapan perubahan pemain daripada pasukan yang memulakan aksi 1-1 di laman sendiri dengan Wolves, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 11:50 AM