TSC turut mahu kekalkan jersi kategori pecut. FOTO: TSC
Azlan Muhammad Zain


TEAM Sapura Cycling (TSC) semakin yakin untuk membawa pulang jersi kuning Tour de Singkarak 2019 menerusi Jesse Ewart dengan saingan berbaki tiga peringkat.

Walaupun bakal mengharungi zon pendakian kategori hors pada peringkat ketujuh dan kelapan, ia tidak melunturkan semangat pasukan benua negara yang optimis mampu mempertahankan juara kategori individu keseluruhan itu.

"Kedua-duanya memang mempunyai pendakian kategori hors namun ia adalah di peringkat awal permulaan. Jika semuanya berjalan lancar, saya yakin mereka mampu membawa pulang jersi kuning," jelas Prinsipal TSC, Mohd Sayuti Zahit.

Pada masa sama, bekas pelumba negara itu menjelaskan mereka mahu mengekalkan jersi kategori pecut dengan Ewart kini kekal mendahului dengan 55 mata.

Malah TSC turut mengintai kedudukan pasukan terbaik keseluruhan apabila berakhir tiga peringkat pada Ahad ini.

TSC terlepas podium pada peringkat keenam hari ini dengan Ewart menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan masa lima jam 40 minit 01 saat namun memadai untuknya mengekalkan jersi kuning sejak peringkat pertama dengan mengumpul 24'53:26s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:58 PM