MAHADI meninggal dunia pada usia 74 tahun. - FOTO FB Kelantan FA Team Red Warriors
Mohd Zulkifli Zainuddin


BEKAS pemain bola sepak negara, Mahadi Yusoff meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian petang tadi akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham Mahadi, 74, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol kira-kira jam 10 malam.

Anak bongsunya, Mohd Hafiz, 37, berkata, ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 petang tadi sebaik dimasukkan hospital sejak tengah hari akibat mengalami sesak nafas.

"Selain jantung, ayah sudah setahun menjalani rawatan dialisis buah pinggang serta turut menghidap kencing manis. Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah. Ayah menghembuskan nafas terakhir disisi kami sekeluarga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita pemergian lagenda bola sepak itu turut dikongsikan melalui akaun Facebook Presiden TRW Kota Bharu (TRWKB), Mohd Zainy Zain sehingga menerima pelbagai respon daripada kenalan dan netizen.

Karier Allahyarham bermula pada usia 12 tahun selepas mewakili Kelantan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada 1957.

Allahyarham kemudiannya mewakili Kelantan pada Piala Rahman, Piala Burnley, serta Piala Emas Raja-Raja dan membantu pasukannya ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1970 menentang Perak.

Kelincahan selaku perancang di bahagian tengah membolehkan beliau diserapkan ke dalam skuad Malaysia pada 1968 dan membantu negara menjuarai Piala Vietnam pada 1971. Selepas bersara, beliau dilantik selaku ketua jurulatih Kelantan selama setahun pada 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 11:57 PM