Skip this ad x
OLE Gunnar Solskjaer. FOTO EPA
AFP

OLE Gunnar Solskjaer menganggap kemenangan Manchester United ke atas Brighton 3-1 malam tadi sebagai aksi terbaik mereka musim ini ketika pasukannya meraih kemenangan kelima daripada enam perlawanan.

Kemenangan United yang meletakkan mereka satu mata di belakang lima pasukan teratas Liga Perdana Inggeris, hadir menerusi jaringan Andreas Pereira dan Marcus Rashford serta gol ke gawang sendiri Davy Propper.

Kemenangan itu lebih bermakna apabila Solskjaer menurunkan barisan kesebelasan utama termuda dalam Liga Perdana musim ini dengan purata usia 23 tahun 350 hari.

Pada hujung minggu di mana mereka turut menewaskan Partizan Belgrade, mood dalam kem United semakin ceria.

“Saya fikir ini adalah persembahan terbaik kami musim ini. Bagaimana ia tidak berakhir dengan lima, enam, tujuh gol kami tidak tahu, pemain tidak tahu.” kata Solskjaer.

“Ia sesuatu yang menggembirakan, menghiburkan dan seronok melihat mereka menjadi diri sendiri.

“Sejak rehat perlawanan antarabangsa kami mencatat lima kemenangan dan mendapat jawapan terhadap apa yang kami cuba lakukan.

“Jika mereka tidak mendapat keyakinan daripada ini, saya tidak tahu apa hendak beritahu mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 9:01 AM