SKUAD kebangsaan menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.  - FOTO Aizuddin Saad
SKUAD kebangsaan menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. - FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


BERHADAPAN Thailand dengan hanya dua penyerang bukan masalah besar bagi pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe apabila mempunyai pemain lain yang boleh menggalas tanggungjawab apabila diperlukan nanti.

Cheng Hoe berkata, pengguguran penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi dalam senarai 23 pemain untuk bertemu Thailand, Khamis ini disebabkan kecederaan dialami pemain terbabit sekali gus kurang cergas untuk beraksi bersama pasukan.

“Sudah tentu kita simpan dua sahaja penyerang kerana terdapat beberapa pemain lain boleh galas tanggungjawab terbabit.

TAN CHENG HOE
TAN CHENG HOE

“Selain Shahrel Fikri digugurkan, dua lagi pemain iaitu Farhan Roslan mempunyai potensi namun belum bersedia bersama pasukan kebangsaan manakala tempat Nazirul Naim pula sudah diisi Syazwan Andik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Sementara itu, kecemerlangan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dalam dua aksi persahabatan menentang Maldives dan Tajikistan membuka ruang untuknya menggalas posisi berkenaan ketika menentang Thailand.

“Setiap kali perlawanan tiada pemain mempunyai 100 peratus jaminan diturunkan membarisi kesebelasan utama. Sudah tentu, persaingan sihat terbabit antara pemain bagus dalam membentuk pasukan terbaik apabila masing-masing akan menunjukkan permainan berkualiti,”’ katanya.

Harimau Malaya menentang Thailand Khamis ini bagi aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan Indonesia pada 19 November dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya menghuni tangga keempat Kumpulan G dengan tiga mata di belakang Emeriah Arab Bersatu di tempat ketiga manakala Vietnam kedua dan Thailand pula selaku pendahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:49 PM