BALOTELLI (kiri) ketika beraksi bersama Itali tahun lalu. — FOTO Agensi
AFP

JURULATIH Itali, Roberto Mancini menegaskan beliau tidak akan menamakan Mario Balotelli dalam skuad kebangsaan hanya kerana mahu menentang perkauman.

“Apabila saya memanggil Mario Balotelli ia kerana dia berhak, bukan kerana warna kulitnya,” kata Mancini pada sidang akhbar menjelang aksi terakhir Azzurri pada kelayakan Euro 2020.

“Saya kenal Mario dan saya sayangkannya. Ingat, saya memberi Mario peluang bermain ketika dia masih remaja, jadi saya amat mengenalinya.”

Balotelli menjadi mangsa cemuhan perkauman oleh penyokong Verona ketika bermain buat Brescia hujung minggu lalu dan presiden persekutuan bola sepak Itali, Gabriele Gravina mencadangkan memanggil penyerang itu akan memberi “mesej luar biasa.”

Namun pemain berusia 29 tahun itu terlepas peluang kembali ke kancah bola sepak antarabangsa buat kali pertama dalam tempoh setahun apabila Mancini menamakan skuadnya Jumaat lalu.

“Bola sepak mesti bersatu dan tidak musnah,” ujar Mancini, yang melatih Balotelli di Inter Milan dan Manchester City.

“Balotelli seorang pemain yang saya suka dan masih boleh menyumbang sesuatu pada usianya. Jika dia dipanggil kembali ia kerana dia berguna kepada pasukan kebangsaan, bukan untuk menghantar satu mesej.”

Itali, yang sudah layak ke pusingan akhir Kejohanan Eropah tahun depan, berdepan Bosnia-Herzegovina awal pagi Sabtu ini sebelum melayan kunjungan Armenia tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 12:00 PM