EMERY menyaksikan anak buahnya bergelut dalam hujan di Stadium King Power, Sabtu lalu. — FOTO Reuters
AFP

UNAI Emery menerima sokongan padu lembaga pengarah Arsenal buat ketika ini, namun diberi amaran keputusan mesti meningkat.

Pengendali dari Sepanyol itu tertekan susulan beberapa keputusan buruk dan rekod hanya dua kemenangan dalam 10 aksi Liga Perdana Inggeris terakhir.

Kekalahan 0-2 di Leicester Sabtu lalu menyaksikan Gunners ketinggalan lapan mata di belakang kelompok empat teratas Liga Perdana.

Sasaran Emery adalah untuk kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam empat musim tahun depan, sama ada menerusi penamat empat terbaik atau dengan menjuarai Liga Europa.

Bagaimanapun, ketua bola sepak kelab itu Raul Sanllehi dan pengarah urusan Vinai Venkatesham menegaskan Emery kekal jurulatih terbaik memegang jawatan itu.

“Kami kecewa seperti setiap orang dengan keputusan dan persembahan pada peringkat ini musim ini,” kata Sanllehi dan Venkatesham kepada staf Arsenal pada satu perjumpaan semalam.

“Kami berkongsi kekecewaan bersama peminat, Unai, pemain dan semua staf kerana mereka tidak berada di tahap yang kami mahu atau harapkan.

“Beberapa perkara perlu meningkat untuk menepati objektif kami musim ini dan kami percaya Unai orang terbaik bagi tugas ini, selain pasukan sokongan yang kami ada.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 1:46 PM