WAN Kuzain perlu perbaharui pasport Malaysia. — FOTO Agensi
BERNAMA

KETUA jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee optimis bintang muda negara yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal boleh menyelesaikan masalah pasportnya untuk bermain pada Sukan SEA Filipina bermula 25 November ini.

Kim Swee bagaimanapun mendedahkan beliau tidak dapat memberi jaminan pemain kelahiran Illinois itu dapat beraksi pada Sukan SEA 2019, namun beliau difahamkan pemain berusia 21 tahun itu sedang berusaha menyelesaikan masalah pasportnya.

“Jika semuanya berjalan lancar, Wan Kuzain akan tiba sebelum hujung minggu ini (di tanah air), dan jika dia tidak menyelesaikan dokumen tertentu atau mendapatkan jalan keluar terbaik bagi kedua-kedua pihak, kemungkinan Wan Kuzain akan terkeluar daripada pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi.

Wan Kuzain yang beraksi dengan kelab MLS, Sporting Kansas City sebelum ini dilaporkan menyatakan hasrat beraksi dengan skuad B-22 kebangsaan memandangkan saingan MLS berhenti rehat.

Pemain muda itu yang masih memegang pasport Malaysia, bagaimanapun dilaporkan berdepan masalah selepas pasportnya dikatakan tamat tempoh dan perlu kembali ke negara ini secepat mungkin untuk memperbaharuinya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 3:59 PM