KPAH dan Kipre (kanan). FOTO Sairien Nafis dan Effendy Rashid
Izzali Ismail


DUA penyerang prolifik Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche kini semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong Kedah bakal menyertai pasukan itu musim depan.

Walaupun belum ada pengumuman dan pengesahan daripada pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) , namun desas desus perkara ini semakin panas dibincangkan sesama penyokong yang menganggap berita ini hampir menjadi kenyataan.

Malah, berdasarkan maklumat KFA sebelum ini yang tidak menyambung khidmat dua penyerang iaitu Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman membayangkan KFA bakal mencari pengganti berbisa buat skuad Lang Merah bagi menghadapi aksi yang lebih mencabar pada musim depan.

“Jika (Sherman dan Tchetche) ini menjadi kenyataan, kami yakin skuad Lang Merah musim 2020 akan menjadi tumpuan dan mampu memberi saingan yang paling hebat dengan sasaran yang dikehendaki,” kata Fazli Mansor dari kelab Peminat Bolasepak Kedah (PBK).

“Kami juga mengikuti perkembangan kedua-dua pemain ini melalui berita terkini dan juga di laman sosial dan mendapati pihak pasukan mereka iatu PKNS FC dan Terengganu FC juga belum menyatakan apa pengesahan berkaitan penyambungan kontrak mereka untuk musim 2020.

“Mulanya kami anggap biasa sahaja namun setiap hari makin ramai yang menyatakan kemungkinan ini sehingga menimbulkan sedikit keyakinan dalam kalangan kalangan penyokong bahawa kedua-dua penyerang ternama ini berkemungkinan akan menyertai Kedah untuk musim depan.

“Pada masa yang sama, kami yakin KFA memiliki perancangan yang terbaik untuk diumumkan kepada penyokong yang sentiasa mengikuti perkembangan serta persiapan pemain-pemain baharu yang akan bersama pasukan untuk musim depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 1:21 PM