LAMPARD memperkenalkan kod disipilin yang ketat. FOTO Agensi
Agensi

FRANK Lampard ketika bergelar pemain sering menjadi antara pemain yang lewat menghadiri latihan namun sebagai pengurus, beliau bertukar menjadi seorang yang tegas dan mahu pemainnya mematuhi masa.

Lampard memperkenalkan kod disipilin yang ketat di sebalik kebangkitan Chelsea musim ini dan senarai denda yang digantung di dinding pusat latihan di mana pemain didenda £20,000 (RM106,712) jika tidak berada di padang sebaik latihan bermula.

Mereka yang lewat untuk perjumpaan pasukan boleh didenda £500 (RM2,667) setiap minit dan mereka yang tidak menepati masa untuk rawatan, temujanji perubatan atau menaiki bas untuk perjalanan hari perlawanan akan didenda £2,500 (RM13,339).

Telefon yang berbunyi ketika perjumpaan pasukan atau ketika makan akan menyebabkan skuad utama Chelsea didenda £1,000 (RM5,335) begitu juga tersilap jersi pada hari perlawanan.

Pemain yang gagal melaporkan kecederaan atau kesakitan sehari sebelum atau 90 minit sebelum latihan akan didenda £10,000 (RM53,355).

Denda dipantau dan dikutip kakitangan kejurulatihan Lampard dan bayaran akan digandakan jika tidak dibayar dalam tempoh 14 hari dan semua bayaran akan disalurkan untuk badan kebajikan dan aktiviti pasukan.

Senarai denda Chelsea itu turut mendedahkan Lampard melarang ejen daripada memasuki pusat latihan, kecuali atas urusan rasmi dan pemain perlu memberitahu kelab jika mahu ke luar negara, biarpun pada hari mereka dijadualkan bercuti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 2:02 PM