Guardiola dikatakan mahu kembali ke Bayern. FOTO REUTERS
Agensi

PEP Guardiola berkemungkinan kembali mengejut menyertai kelab gergasi Jerman, Bayern Munich kerana ‘tidak suka tinggal di Manchester’.

Akhbar Jerman Bild mendedahkan ketua Manchester City itu masih menyimpan flatnya di Munich dan mahu kembali ke Bavaria.

Guardiola berhenti selaku jurulatih Munich pada 2016 untuk mengendalikan City di Etihad.

Dalam tempoh tiga tahun di Manchester, dia gagal memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dan ia sesuatu yang dia juga tidak mampu mencapainya di Bayern.

Bagaimanapun dia menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak dua musim lalu biarpun menamatkan saingan tanpa piala dalam kempen musim pertama di England.

Pengurus dari Sepanyol berusia 48 tahun itu menandatangani kontrak lanjutan selama dua musim di City pada 2018 yang dianggarkan berharga £19.5 juta (RM104 juta) setahun sehingga 2021.

Bayern memecat jurulatih mereka Niko Jovac, dua minggu lalu dan berkemungkinan membuat tawaran sensasi untuk membawa semula Guardiola ke Munich, lapor SportBild.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 3:17 PM