Farhan serius hadapi Sukan SEA di Filipina. FOTO NSTP/OWEE AH CHUN
Azlan Muhammad Zain


KAPTEN sepak takraw negara, Mohd Farhan Adam menaruh keyakinan terhadap kemampuan rakan sepasukan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir emas yang diletakkan dibahu mereka pada temasya Sukan SEA Filipina.

Malaysia hadir tanpa dua tonggak utama, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak susulan penggantungan sembilan bulan yang dikenakan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terhadap mereka.

"Kekuatan pasukan tetap ada. Nampak pemain lebih rapat yang secara tidak langsung memudahkan tugas jurulatih membentuk regu. Sejak awal kami bersedia untuk bermain dengan sesiapa saja," jelas Farhan.

Tambah pengumpan berusia 30 tahun, walaupun separuh daripada pemain dalam skuad negara adalah muka baru berbanding tahun lalu, ia tidak menimbulkan masalah.

"Saya yakin pemain yang ada (dalam skuad negara) mampu membantu pasukan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang sebutir emas untuk negara," tambahnya.

Malaysia mengintai peluang untuk melakar hatrik emas dalam acara regu di Filipina selepas memenanginya pada edisi 2015 dan 2017 dengan dia turut meraih kedua-dua emas berkenaan.

Ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad menyenaraikan lima tekong, empat perejam dan tiga pengumpan untuk memastikan sasaran sebutir emas Malaysia tercapai pada edisi ke-30 temasya itu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 5:32 PM