COURTOIS berdepan kritikan. - FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN Belgium, Thibaut Courtois berkata, dia antara penjaga gol terhebat dunia walaupun berdepan kritikan susulan prestasi menurun bersama Real Madrid sejak beberapa bulan lalu.

“Saya telah membuktikan saya antara terbaik di dunia. Mungkin ada 10 penjaga gol terbaik dan sukar memilih di antara mereka,” katanya yang dipetik media Belgium menjelang aksi kelayakan Euro 2020 menentang Russia Sabtu ini.

"Dengan bakat dan prestasi saya, saya yakin antara yang terbaik. Itu antara punca saya dikritik.” Dia menafikan memulakan musim ini dengan buruk dan hanya bertambah baik sejak akhir-akhir ini.

"Saya hanya melepaskan tujuh gol dalam La Liga jadi tiada masalah dengan prestasi saya,” katanya.

Courtois berdepan kritikan selepas Real tewas 0-3 di Paris St Germain dalam aksi Liga Juara Juara pada September lalu dan digantikan pada separuh masa pertama ketika menentang Club Brugge di tempat sendiri selepas melepaskan dua gol awal bulan lalu.

“Ada dua gol pelik dan saya dikeluarkan kerana sakit,” katanya dan menambah kritikan terhadapnya selepas itu adalah tidak adil.

"Tetapi saya tak membaca akhbar. Sebagai pemain profesional, anda hanya perlu beri perhatian kepada jurulatih, rakan sepasukan dan mereka yang tahu tugas penjaga gol.

“Mengkritik seseorang yang melepaskan gol sangat mudah tetapi saya perlu bertenang dan berlatih seperti biasa. Saya tak pernah ragui kemampuan saya.

“Untuk hilang keyakinan mungkin kesilapan paling besar saya lakukan. Tekanan kini ke atas kelab seperti Real dan saya tidak bermasalah dengannya. Di (bekas kelab), Chelsea, Atletico dan sekarang Real, anda perlu mencapai sesuatu.”

Courtois mencatat rekod Belgium apabila tidak bolos dalam tujuh perlawanan sekali gus membantu pasukannya layak ke Kejohanan Eropah tahun hadapan.

Mereka memburu rekod 100 peratus kemenangan di St Petersburg dalam Kumpulan 1 Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:03 PM