DATUK Ahmad Mustafa.
Azlan Muhammad Zain


BAJET sekitar RM20 juta diperlukan bagi menjayakan edisi ke-25 perlumbaan berbasikal berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bakal menyambut Jubli Perak tahun depan.

Edisi ke-25 bakal menyaksikan perlumbaan berlangsung lebih gah apabila ‘aura berbasikal’ akan diterbangkan ke Sabah dan Sarawak selain berakhir di Pulau Langkawi.

"Kami baru saja memuktamadkan bajet diperlukan bagi menjayakan perlumbaan tahun depan. Ia tidak kurang RM20 juta dan mungkin lebih.

"Kami masih mendapat geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) namun pada masa sama berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menjayakannya," jelas Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO) Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa.

Tambahnya, saingan LTdL 2020 membabitkan lapan peringkat perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 14 Februari.

"Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tidak membenarkan perlumbaan sehingga 10 peringkat apabila berada dalam kategori ProSeries namun sambutan Jubli Perak tetap berlangsung 10 hari dengan kita merancang perlumbaan kriterium membabitkan pelumba terbaik bagi Bawah 23 tahun yang berlangsung di Kota Kinabalu, sehari sebelum perlumbaan sebenar bermula.

"Malah selepas sehari peringkat terakhir di Langkawi, kita akan mengadakan perlumbaan sehari dengan menjemput nama-nama besar sukan berbasikal termasuk bekas pemenang LTdL untuk memeriahkannya," kata Ahmad.

UCI sudah mengeluarkan kalendarnya di Jelajah Asia dengan LTdL dijadual berlangsung dari 6 hingga 13 April namun Ahmad menjelaskan mereka sudah mengemukakan permohonan untuk menukar tarikh kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi dipanjangkan kepada badan induk dunia berkenaan agar dipinda kepada Februari.

LTdL 2020 yang diuruskan Human Voyage Sdn Bhd dijadual bermula di Sarawak sebagai peringkat pertama disusuli Terengganu serta bahagian lain di Semenanjung serta berakhir di Pulau Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:02 PM