Brooks Koepka ketika menyertai salah satu pertandingan golf baru-baru ini. FOTO File Agensi
AFP

BROOKS Koepka mengumumkan dia menarik diri daripada kejohanan Piala Presiden selepas mengalami kecederaan lutut sekali gus membuatkan kapten Amerika Syarikat (AS) Tiger Woods segera memilih Rickie Fowler untuk mengisi kekosongan itu.

“Hari ini, saya mengumumkan penarikan diri daripada pasukan Piala Presiden AS kerana kecederaan lutut,” kata Koepka menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi laman web Jelajah PGA AS.

“Saya sudah memaklumkan Kapten Tiger Woods, disamping memerlukan rawatan perubatan dan pemulihan berterusan, saya tidak dapat bermain golf buat masa ini.

“Saya melihat ini satu kebanggaan besar untuk menjadi sebahagian daripada pasukan 2019 dan saya kesal kerana tidak dapat bertanding.”

Pemain nombor satu dunia Koepka, yang terpaksa menjalani rawatan pengimbasan pada lutut kiri selepas Kejuaraan Jelajah, menarik diri pada Piala CJ di Korea Selatan selepas mengalami kecederaan apabila tergelincir berhampiran laluan kenderaan.

Dia berkata dia kerap menghubungi Woods sejak itu, tetapi sedar dia memerlukan lebih masa untuk pulih.

Woods tanpa membuang masa memilih Fowler untuk pasukan Piala Presiden ketiga mereka.

Fowler yang tidak tewas - menang tiga perlawanan dan seri satu - di dalam kemenangan Amerika Syarikat mengatasi pasukan antarabangsa pada edisi 2017 berlangsung di Liberty National di New Jersey.

“Saya sudah bercakap dengan Rickie dan dia bersetuju menyertai pasukan AS,” kata Woods dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman web jelajah berkenaan.

“Rickie pernah beraksi beberapa kali bersama pasukan Piala Presiden adalah calon yang layak dipilih dan dihormati selain digemari rakan sepasukannya.”

Amerika Syarikat akan berdepan pasukan Antarabangsa diketuai Ernie Els di Royal Melbourne bermula 12 hingga 15 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 9:18 AM