Skip this ad x
KHAIRUL Idham ketika menunggang jentera Moto2 awal tahun ini. — FOTO Luqman Hakim Zubir
BERNAMA

PELUMBA negara Khairul Idham Pawi, yang beraksi buat kali pertama sejak Ogos lalu, menduduki tangga keempat pada ujian pramusim Moto3 di Litar Jerez-Angel Nieto di Sepanyol , semalam.

Penunggang berusia 21 tahun yang mewakili Petronas Sprinta Racing Team (SRT) menamatkan 58 pusingan dengan catatan masa terbaik satu minit 58.333 saat, walaupun terjatuh dan mengalami kecederaan kecil namun mampu meneruskan saingan.

“Ini aksi pertama saya dalam Moto3 sejak sekian lama selepas berehat panjang susulan kecederaan. Rasa bersemangat dapat beraksi semula dengan pasukan ini dan kembali memberi saingan.

“Jari saya masih rasa kurang selesa, tapi saya tidak mempunyai sebarang masalah dengannya ketika saya menunggang. Keadaan jalan amat licin dan cuaca berangin menjadikannya sukar, semoga keadaan lebih baik esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelumba dari Perak itu yang dikenali sebagai Super KIP berkata, dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan gaya menunggang daripada Moto2 kepada Moto3, yang menggunakan jentera lebih ringan dan kurang kuasa.

“Saya memperbaiki catatan masa pada setiap pusingan setiap kali saya tinggalkan pit dan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Moto3 berbeza dengan Moto2 dan mengambil sedikit masa untuk saya menyesuaikan gaya menunggang motosikal yang lebih ringan dan kurang kuasa.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:27 PM