PENYERANG negara, Luqman Hakim Shamsudin (tengah) ketika bertemu Northern Territory dari Australia pada aksi persahabatan di Subang Jaya, hari ini. — FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin yakin dengan kemampuan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee pada temasya Sukan Sea Filipina 2019.

Prestasi pemain sepanjang kem latihan pusat bermula 4 November lalu serta keputusan positif diraih dalam beberapa siri persahabatan menyebabkan Hamidin percaya Kim Swee individu tepat untuk membantu kejayaan Malaysia di Filipina.

“Anda dapat lihat skuad kebangsaan di bawah pimpinan beliau (Kim Swee) mampu mencipta kejayaan. Ini juga membuka peluang kepada setiap pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya selepas menyaksikan sesi latihan skuad B-22 di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya, hari ini.

Pada sesi latihan itu, skuad B-22 negara mengalahkan Northern Territory 3-0 dan Western Australia 2-0, kedua-dua pasukan dari Australia, dalam aksi persahabatan.

Kim Swee pernah menghadiahkan pingat emas pada Sukan Sea Indonesia 2011 dan perak pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia memulakan kempen bertemu Myanmar Isnin ini, diikuti Filipina (29 November), Timur Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember). Semua perlawanan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 11:13 PM