SKUAD Terengganu dua kali muncul naib juara Piala Agong.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KEKALAHAN lima tahun lalu mahu ditebus Terengganu apabila bertemu Sabah sekali lagi pada aksi final Piala Agong 2019 di Stadium Universiti Putra Malaysia jam 4 petang esok.

Pengurus ragbi Terengganu, Che Zulkarnain Abd Wahab berkata, pasukannya mempunyai strategi khas menghadapi Sabah yang juga juara bertahan dalam percubaan ketiga untuk menjulang piala berprestij itu buat julung kalinya.

Justeru, beliau mahu pemainnya bersedia dan tidak gentar dengan reputasi hebat lawan yang dibimbing ketua jurulatih kebangsaan, Bradley Moni Mika.

"Kita turun sebagai 'underdog' dan cuba untuk mencipta sejarah buat kali pertama menjulang Piala Agong. Ini percubaan kami buat kali ketiga di final selepas tewas kepada Sabah pada 2014 dan kedua kepada Johor pada 2017 di Terengganu. Saya harap pemain akan cuba sebaik mungkin untuk menebus kesilapan kalah kepada Sabah," katanya dihubungi Arena Metro hari ini.

STEVEN dan Timbalan Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah melawat Faizul di Medical City.

Che Zulkarnain berkata, biarpun Sabah memiliki kelebihan selepas menempah slot suku akhir secara automatik kerana Sarawak dan Labuan tidak mengambil bahagian kali ini, pasukannya tidak akan memberi laluan mudah.

Katanya, kehadiran semula Iowane Teba, sebelum ini digantung dua perlawanan ketika Kejohanan Ragbi Cobra Antarabangsa 10 Sepasukan lalu melengkapkan empat tonggak Fiji dalam pasukan.

"Hanya Lawrence Petrus tidak dapat bermain kerana menerima kad merah menentang Johor di separuh akhir. Semua pemain lain bebas kecederaan serius dan bersedia untuk perlawanan esok," katanya.

Terengganu yang juga juara Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan di Ipoh, Perak pada September lalu mara ke final selepas menewaskan Johor 34-31 di separuh akhir, kelmarin.

Sementara itu, pengurus Sabah, Norsyahidzan Saad mahu pemainnya fokus kepada perancangan serta taktikal diterapkan jurulatih dan tidak terlalu memandang mudah cabaran Terengganu.

Katanya, kejayaan membelasah Kelantan yang juga naib juara tahun lalu 100-0 di separuh akhir bukan ukuran memandangkan beberapa pemain utama mereka bersama skuad Sukan Sea.

"Saya berpendapat, jika pemain melakukan seperti dirancang jurulatih, Insya-Allah kita mampu mempertahankan kejuaraan tahun lalu. Terengganu pasukan hebat dan tetap menghormati mereka.

“Kami sudah mengkaji persembahan mereka dan percaya mereka juga melakukan perkara sama. Mereka dibarisi pemain kebangsaan dan bekas pemain kebangsaan berpengalaman. Jadi pasukan yang tidak melakukan kesilapan berpeluang muncul juara," katanya.

Kejohanan ragbi Piala Agong menawarkan hadiah keseluruhan RM45,000.

PASUKAN Sabah pilihan muncul juara Piala Agong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:34 PM