SOON Huat dan Shevon mara ke separuh akhir Masters Korea.
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) percaya kesungguhan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk memperbaiki segala kelemahan asas di dalam sukan itu membolehkan gandingan berkenaan mara ke separuh akhir kejohanan buat kali ketiga berturut-turut.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, bukan sesuatu menghairankan apabila Soon Huat-Shevon berjaya melepasi suku akhir Masters Korea hari ini selepas menundukkan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketiga, Seo Seung Jae-Chae Yujung 11-21, 21-13, 26-24.

“Saya rasa mereka sudah memperbaiki kelemahan selepas ditegur sebelum ini. Perwatakan dan bahasa badan mereka juga turut diperbaiki,” kata Choong Hann ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Menurutnya, analisa sudah dilakukan terhadap pasangan nombor lapan dunia itu sebelum ini dan beliau mengaku bahawa Soon Huat-Shevon sudah melakukan pembetulan.

“Mereka rajin memperbetulkan kelemahan yang ada. Ia bukan berdasarkan kemahiran individu tapi kemahiran asas. Perkara itu akan sentiasa kekal di dalam badan mereka. Kecerdikan dan taktikal memang sangat penting namun untuk meraih mata melalui cara berkenaan ia bukannya kerap berlaku. Jika ia tidak menjadi mereka harus mencari pelan B,” katanya.

Ini kali ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga minggu, Soon Huat-Shevon mara ke separuh akhir namun mereka gagal untuk melangkah ke final Terbuka China dan Hong Kong apabila disekat wakil China.

Menanti mereka dalam saingan separuh akhir esok ialah wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching yang sebelum itu menumpaskan satu lagi pasangan tuan rumah, Choi Solgyu-Shin Seung Chan 21-14, 15-21, 21-19.

Turut ke separuh akhir ialah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas mengalahkan Di Zi Jian-Wang Chang (China) 16-21, 21-15, 21-16.

Sementara itu, pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terkandas apabila tumpas di tangan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang (Taiwan) 17-21, 16-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 11:56 PM